KEADILANbp

Keadilan Untuk Semua

Foto Saya
Nama:

'KEADILANbp' ialah blog Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Pahat. Cabang adalah badan tertinggi dan pentadbir Parti dalam satu-satu kawasan pilihanraya Parlimen. Kami mengalu-alukan sumbangan, pandangan atau teguran yang membina. Emel: keadilanbp@gmail.com

Isnin, Disember 15, 2008

Mereka menuntut keadilan




Penduduk Taman Tanah Merah dan Kampung Johor di Batu Pahat rata-rata tidak percaya lagi kepada janji pihak kerajaan tempatan dan wakil rakyat mereka untuk menyelesaikan masalah banjir kilat dan lumpur yang sering melanda kawasan tersebut.


Perkara ini disahkan oleh beberapa orang ahli Jawatankuasa Banjir dan Kebajikan Kawasan Tanah Merah dan Kampung Johor yang ditemui beberapa hari lalu.


“Mereka sudah fed-up menunggu hampir 35 tahun!” kata Peter Ong, 68.


Dua tahun dulu, beliau sendiri terpaksa meninggalkan rumah yang didiaminya semenjak 1973, dan berpindah ke tempat lain.


“Apa boleh buat? Saya sudah tua, tak sanggup lagi nak bersihkan rumah yang penuh dengan lumpur tiap-tiap kali hujan lebat membanjiri kawasan kami,” keluh guru yang sudah bersara itu.


Seperti Ong juga, Haji Ju Ahmad telah berpindah lebih awal dari situ. Bekas guru sekolah rendah itu memberitahu kami rumahnya ditinggalkan begitu saja semenjak 1995.


“Siapa nak beli….? Sewapun orang tak mau,” jelasnya.


Kami merasa sedih apabila dibawa melihat banyak rumah di situ telah ditinggalkan terbengkalai; beberapa buah saja yang berpenghuni.


Johnson Gomez menceritakan bagaimana beberapa tahun sudah penduduk Islam di situ tidak dapat menyambut Hariraya.


“Sehari sebelum raya, semua persiapan telah habis musnah. Air hujan dan lumpur dari kawasan pebinaan di sebelah atas masuk mencurah-curah ke dalam rumah mereka….


“Apa lagi yang ada untuk sambutan Hariraya?” tambah Pengerusi Jawatankuasa tadi.


Semua orang tahu, salah satu punca utama bencana tersebut ialah ‘pembangunan’ yang tidak dirancang. Faktor lain ialah sifat tamak pihak-pihak tertentu untuk mencari keuntungan besar tanpa mengira kerugian yang akan ditanggung oleh orang lain.


Pada 14 Ogos 1975, Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri sendiri telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Majlis Bandaran, Bandar Penggaram, Batu Pahat:


“(c) Apabila air dan lumpur itu sampai ke atas Lot 4728 dan Lot 2547 ia bertakung di situ kerana tidak ada sungai atau parit besar, melainkan sebatang parit anti-malaria yang besarnya 3 kaki dalam dan 3 kaki lebar, bagi membawakan air dan lumpur itu ke sungai besar. Adalah ternyata parit anti-malaria itu tidak cukup besar bagi melarikan air dan lumpur daripada muka tanah seluas lebih kurang 40 ekar (mahupun jika ia digali dan dibersihkan daripada semasa ke semasa) lebih-lebih bila parit itu tidak mempunyai curaman yang cukup.”


Semenjak 1980an, keadaan menjadi bertambah buruk apabila parit tersebut dibelok dan disempitkan untuk memberi keluasan cukup kepada sebuah banglo milik perseorangan.


Tidak lama kemudian, akibat hakisan dan temboknya runtuh, rumah mewah tersebut ditinggalkan kosong oleh pemiliknya hingga sekarang.


Kini, khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa kerajaan negeri bercadang akan membeli banglo tersebut dengan harga yang tidak munasabah – kononnya kerana hendak ‘meluruskan’ semula parit anti-malaria tadi.


Kalau begitu halnya, kerajaan negeri juga mesti bersedia untuk membeli rumah-rumah lain yang telah rosak atau ditinggalkan akibat bencana buatan manusia selama 35 tahun itu. Atau sekurang-kurangnya bayar gantirugi kepada mereka yang terlibat.


“Kalau duit cukai dari rakyat boleh digunakan untuk kepentingan seorang, mengapa ia tidak boleh digunakan bagi faedah ramai?


“Kami hanya mengharapkan pembelaan yang adil setelah begitu lama menunggu,” kata Cikgu Ju Ahmad.


0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama